Saturday, March 19, 2011

Maksud Di Sebalik Kata


alt
Sering kita menjadi mangsa,
Pada manis bicara,
Putar belit kata,
Tuturan lidah manusia,
Yang melontarkan kita ke gaung tipu daya,
Sesat dalam rimba percaya.

Manisnya bicara,
Laksana gula,
Manisnya meracun jiwa,
Taksubnya ...
Mengikat sangsi di perdu jati,
Kukuh talinya bersimpul mati.

Sedar-sedar saja ...
Segalanya telah tiada,
Hilang harta,
Hilang mahkota,
Barulah terungkai maksud di sebalik kata,
Bukti yang nyata,
Janji-janji yang dikata,
Tidak pernah terkota.








Enjoy Your Reading My dear! ^__^

Wednesday, March 16, 2011

Cantik Di Pandang


alt
"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana 
pintu yang dia sukai." \[Hadis Riwayat Ahmad]
Rama-Rama Halus Sayapnya
Melihat gelagat rama-rama membuatkan ramai orang menjadi suka, ceria dan terpesona. Ramai yang akan tersenyum melihat kecantikan rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Pasti ada yang tidak kena jika ada bunga yang tidak dihinggapi rama-rama.
Ramai yang akan tertarik untuk menangkap rama-rama apabila melihat ia terbang berkeliaran di udara. Kecantikan rama-rama terletak pada warna dan corak sayapnya. Akan tetapi kecantikannya tidak akan kekal jika banyak tangan yang menyentuhnya.
Warna dan corak rama-rama pasti akan melekat pada jari jemari apabila kita menangkapnya. Selepas itu tiada sesiapa yang akan tertarik padanya lagi. Keindahan rama-rama telah hilang untuk dikagumi.
Indah Ibarat Wanita.
Wanita adalah hiasan dunia. Rama-rama ibarat wanita. Wanita indah untuk dilihat, tetapi nilai dirinya akan merosot setiap kali ada tangan-tangan kotor mencemari atau menyentuhi tubuhnya. Harga diri dan maruah mudah tercemar jika tidak dijaga dengan sempurna.
Begitulah wanita. Kecantikan wanita bagaikan rama-rama yang terbang membawa keindahan corak pada dirinya. Ia akan membuatkan lelaki mudah tertarik pada wanita. Tetapi untuk menjaga harga diri seorang wanita, bukanlah dengan membiarkan kecantikannya disentuh, dipegang oleh semua yang tertarik padanya. Biarlah kecantikan pada wanita itu diperolehi melalui jalan yang diredhai Allah.
Wanita harus menjaga harga kecantikan dan keindahan seorang wanita menurut ketentuan dan panduan yang Allah ajarkan di dalam al-Quran yang telah di sampaikan oleh RasulNya. Hanya dengan menuruti perintah Allah, kemuliaan, harga diri, kecantikan, dan keindahan seorang wanita akan terjaga dan terpelihara.
Wanita Yang Lebih Baik Dari Bidadari
Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya: Aku berkata, "Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?" Baginda menjawab, "Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin."Aku berkata, "Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu? Baginda menjawab, "Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning..." (Hadis Riwayat al-Tabrani)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Hadis riwayat Bukhari)  





Enjoy Your Reading My dear! ^__^

Tuesday, March 8, 2011

Tiga Demensi Cinta


altCINTA adalah perkataan indah yang mempunyai erti yang amat mendalam buat sepasang kekasih. 
Tetapi oleh kerana terlalu kerap disebut-sebut, ia menjadi koman. Akibatnya perkataan cinta mempunyai konotasi murahan. Cinta menjadi perkataan mainan di bibir kerana mudah dilafazkan dengan selamba.
Lafaz 'AKU CINTA PADAMU' atau 'I LOVE YOU' sudah tidak menjadikan si penyebut bergetar dadanya dan si pendengar terhenti jantungnya. Pendek kata ungkapan 'AKU CINTA PADAMU' sudah jadi sebutan plastik yang lahir di bibir semata-mata, bukannya menjelma dari hati. Kerana itu, ungkapan tersebut sudah tidak lagi mudah dipercayai kerana persepsi terhadap nilainya kian murah. Mengapa, ya?
Memanglah begini jadinya kerana ramai yang belum mengenal peringkat cinta yang pada pendapat saya sebenarnya ada tiga, mengikut tiga dimensi manusia iaitu fizikalnya, mentalnya dan spiritualnya. Cinta di peringkat pertama ialah cinta fizikal, peringkat kedua, cinta emosional dan peringkat ketiga, cinta spiritual.
Lazimnya, sepasang kekasih hanya mengalami dua dimensi cinta sahaja iaitu cinta fizikal dan cinta emosional. Tidak boleh tidak, kebanyakan percintaan pada hari ini bermula di dimensi cinta fizikal. Wajahnya, lirikan matanya, senyumannya, suaranya, seksinya, bau perfumnya, hensemnya dan segala-gala yang dapat dicapai oleh lima pancaindera banyak bergantung pada cinta fizikal. Cinta pandang pertama terlahir kerana cinta fizikal.
Pertemuan yang kerap sepasang kekasih, berbual, berSMS dan MMS, bertukar pendapat, membantu menyelesai masalah, saling bersama pergi dan pulang kerja, membantu menelaah pelajaran, pemberian hadiah dan pujian akan melahirkan cinta dimensi kedua iaitu cinta emosional. Dari situ, lahirlah rindu ingin sang kekasih sentiasa di sisi. Kerana cinta emosilah lahir ungkapan lautan api sanggup kurenangi.
Di manakah cinta spiritual? Lazimnya tak terlahir di peringkat ini kerana perasaan ini sukar menjelma jika tidak diketahui. Kerana tidak dimengerti, maka ia tidak dicari. Namun, anak yang dijodohkan oleh ibu bapa akan mengalami cinta spiritual terlebih dahulu sebelum cinta fizikal dan cinta emosional. Ia apa yang selalu disebut sebagai kahwin dahulu, baru bercinta, sedangkan sebenarnya mereka berkahwin kerana mengikut perintah ibu bapa. Apa yang disukai ibu bapa, ia juga disukai ALLAH. Kerana itulah, perkahwinan ini biasanya kekal dan damai kerana ditunjangi cinta spiritual, cinta emosional dan cinta fizikal.
Fizikal, mental dan spiritual seseorang itu harus dipenuhi sebelum seseorang itu akan komited terhadap sesuatu. Justeru itu, cinta fizikal dan cinta emosional sahaja belum melengkapi. Sebab itu ia goyah. Agar perkahwinan itu teguh, carilah cinta spiritual iaitu cinta dan berkahwin kerana menurut sunah Nabi Muhammad s.a.w yang antaranya untuk menambah umat dan kerana mengikut perintah ALLAH.
Ingatlah, jodoh kita ditentukan di Luh Mahfuz. Justeru itu, ia bukan sahaja untuk di dunia, malah membawa ke akhirat. Jika diizinkan-NYA, pasangan kita itulah yang akan menjadi teman kita selama-lamanya di syurga. Berkasih di syurga bukan hanya di dalam lagu cinta, tetapi yang benar akan terjadi jika kita mengerti dengan menyuluh ke denai-denai di hati.



Enjoy Your Reading My dear! ^__^

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...