Telah menjadi rutin harian Aku menemani Sofeya untuk bermain layang-layang di taman permainan berhampiran kawasan rumah kami. Sofeya sangat gemar bermain layang-layang. Aku merasa sangat bahagia tatkala melihat senyuman yang mencorak wajah si kecil itu. Wajahnya yang putih bersih, sentiasa dihiasi dengan senyuman yang mampu meruntun hati setiap mata yang memandang.
"Kak Yaa, tengoklah layang-layang Feya terbang tinggi! Boleh tak Feya nak terbang tinggi-tinggi macam layang-layang tu?" ujar Sofeya yang membahasakan dirinya sebagai Feya sambil menarik tali layang-layang tersebut dan melompat-lompat kegirangan. Matanya yang sepet hampir tertutup setiap kali dia ketawa kegirangan.
"Feya nak terbang tinggi-tinggi macam tu nak pergi mana sayang? Kesian Kak Yaa nanti tak ada lagi kawan nak temankan Kak Yaa jalan-jalan," balas Aku cuba untuk menyakat si kecil Sofeya.
"Feya janji yang Feya tak akan tinggalkan Kak Yaa. Feya cuma ada atuk,nenek dan Kak Yaa. Mama dan Papa jarang-jarang balik jenguk Feya kat sini. Mereka tak sayangkan Feya lagi ke Kak Yaa?" soalan Feya membuatkan Aku terkesima sebentar. Otak Aku mula ligat mencari jawapan untuk menjawab soalan si kecil itu.
"Ish, tak baik Feya cakap macam tu. Mama dengan Papa sayangkan Feya.Feyakan anak mereka. Barangkali mereka sibuk dengan kerja mereka kat bandar tu. Nanti mereka akan balik jenguk Feya kat sini.," ayat demi ayat Aku susun dengan berhati-hati agar tiada kata Aku yang mengguris jiwa kecil itu.
"Tak apalah Kak Yaa. Lagipun Kak Yaa kan ada temankan Feya selalu. Kak Yaa,belanjalah Feya makan gula-gula kapas tu. Feya teringin nak makan gula-gula tu. Jom la Kak Yaa!" kata Feya sambil menarik-narik tangan Aku dan kemudiannya berlari menuju kearah seorang tua yang menjual gula-gula kapas. Tanpa berlengah lagi,Aku terus menurut saja permintaan adik angkat Aku itu. Biarlah hatinya gembira walaupun hanya dengan permberian sekecil itu kerana Aku tidak pasti jangka masa yang berbaki untuk Aku menemani Feya. Feya disahkan menghidap kanser darah pada lima bulan yang lalu. Sewaktu Aku dikhabarkan dengan berita itu,Aku terjelepuk diatas lantai.Aku tidak pernah menyangka seorang kanak-kanak yang riang seperti Feya menghidap sejenis penyakit yang akan meragut nyawanya. Hingga saat ini Aku masih lagi menafikan kenyataan bahawa Aku akan kehilangan Feya dari hidup Aku.
Keesokkannya,seperti kebiasaannya Aku akan ke taman permainan untuk menanti Feya datang tetapi setelah lama Aku menanti, kedatangan Feya tidak juga kunjung tiba. Aku bergegas ke rumah Feya. Atuk memberitahu Aku bahawa Feya demam dan langsung tidak dapat untuk bangkit dari perbaringannya. Sedih hati Aku melihat tubuh kecil itu terbaring lesu diatas katil kecilnya itu. Aku menangis teresak-esak melihatkan keadaan itu.Setelah itu,Aku mengatur langkah untuk pulang ke rumah dengan perasaan yang gundah gulana dan jiwa yang berkecamuk.
"Kak Yaa! Cepatlah buka pintu ni. Feya datang ni kak," jerit Feya diluar rumah. Aku segera mengukir senyuman setelah mendengar suara manja adik Aku itu. Segera Aku bergegas membuka pintu. Tangan Aku ditarik dan Aku dibawa ke taman permainan,tempat kami menghabiskan masa bersama.
"Akak,hari ni Feya nak makan gula-gula kapas lagi ya kak. Feya takut tak dapat makan lagi lepas ni," kata-kata Feya menyentap jantung Aku.
"Apa yang Feya cakapkan ni dik? Feya boleh makan seberapa banyak yang Feya mahu. Kak Yaa akan belikan," aku terus berlari mencari pak cik tua yang sentiasa berniaga gula-gula kapas di taman permainan tersebut meninggalkan Feya yang sedang asyik bermain layang-layang.
Sekembalinya Aku ke arah Feya, kelibatnya menarik-narik layang-layang tidak lagi Aku lihat. Aku cuma melihat layang-layang yang terputus talinya terbang tanpa arah tuju. Aku melihat sekujur tubuh terbaring layu diatas tanah. Aku merasakan seolah-olah roh didalam badan Aku tercabut dari jasad apabila sekujur tubuh yang Aku lihat sebentar tadi adalah Feya. Dia tidak lagi berdaya,segera Aku panggilkan ambulans. Didalam ambulans tersebut,Aku menggenggam erat tangan Feya. Feya perlahan-lahan membuka matanya yang kuyu itu.
"Akak, terima kasih sebab jadi akak Feya. Feya sayang sangat kat akak.Feya nak jadi adik akak sampai bila-bila ya kak," ujar Feya.Air mata Aku mula berguguran,mencurah-curah tanpa henti.
"Akak, Feya mengantuk. Feya nak tidur dulu ya kak," lemah suaranya berkata-kata sambil bibirnya mengukirkan senyuman kepada Aku.
"Feya,buka mata tu sayang.Jangan tidur sayang.Jangan tinggalkan akak.Feya...," tiada lagi kedengaran suara manja Feya membalas ungkapan Aku. Feya telah pergi mengadap penciptanya. Itulah senyuman terakhir dari Feya untuk Aku.
Kini, Aku masih lagi meluangkan masa Aku setiap petang untuk pergi ke taman permainan itu. Aku merasakan seolah-olah Feya masih lagi bersama Aku. Setiap kanak-kanak yang Aku jumpa akan Aku berikan gula-gula kapas kepada mereka kerana itu adalah kegemaran adik Aku, Arianna Sofeya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
2 comments:
sedihnyer..
thnx sebab menghayati... ^_^
Post a Comment